KENAPA KITA KENA BANYAKKAN TAWAF SUNAT DI BAITULLAH BERBANDING UMRAH SUNAT. BACA SAMPAI HABIS.
Semangat berkobar-kobar untuk menambahkan amalan sememangnya satu sikap yang sangat terpuji. Dan amat lebih baik lagi apabila kita kekal ISTIQOMAH dalam ibadah atau bahasa mudahnya “konsisten”.
Jangan hanya di tanah suci sahaja kita semangat, bila balik ke tanah air kita kembali kepada asal. Sebagai Tetamu Allah sewajarnya kita mendalami ilmu agama dengan tekun supaya kita arif mengenai hukum hakam dalam agama. seterusnya memperbaiki segala kekurangan diri supaya menjadi insan yang lebih baik.
Ibadah mana yang perlu diutamakan atau diberi KEUTAMAAN berbanding dengan ibadah yang lain. Jangan sampai amalan kita menjadi sia-sia lantaran jahil mengenai sesuatu hukum. Di sinilah perlu guru dan adab di dalam berguru. Sabar untuk mendalami ilmu agar kita dipandaikan.
Apabila berada di Mekah, ada di kalangan jemaah yang memperbanyakkan amalan UMRAH SUNAT. Malah ada yang menganggap Umrah Sunat yang dilakukan sebanyak 7 kali menyamai pahala Haji. Sedangkan tidak ada nas al-Quran, hadis mahupun ijmak ulamak yang menyatakan sedemikian.
Sebenarnya amalan yang paling afdhal semasa di Tanah Haram ialah memperbanyakkan Tawaf Sunat dan bukannya memperbanyakkan Umrah Sunat.
MENGAPA TAWAF SUNAT LEBIH BAIK BERBANDING DENGAN AMALAN LAIN DI TANAH HARAM?
Tawaf itu adalah Sunatullah bukan sekadar sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah. Semua makhluk Allah yang melata di bumi hatta di langit sekalipun bertawaf sebagai menunjukkan ketaatan mereka patuh kepada Allah. Bintang-bintang di langit, planet-planet yang berada di angkasa lepas semuanya berpusing ikut lawan jam mengelilingi matahari mengikut paksinya. Malah zarah sekecil atom turut sama berpusing mengikut aturan Allah.
Jika semua makhluk Allah bertawaf sebagai menunjukkan kepatuhan mereka beribadah kepada Allah, maka sebagai manusia yang dikurniakan Allah dengan banyak kelebihan sewajarnyalah memperbanyakkan Tawaf sebagai tanda kita taat dan patuh kepada Allah yang Esa.
Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda ” Sesungguhnya setiap hari Allah menurunkan 120 rahmat kepada Baitullah ini. 60 rahmat untuk orang yang bertawaf, 40 rahmat untuk orang yang mengerjakan solat dan 20 rahmat untuk orang yang memandang Baitullah”.
Anas bin Malik pula mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda “2 jenis tawaf di mana apabila seorang hamba Allah dapat melakukannya, niscaya seluruh dosanya akan diampuni seperti ketika ia dilahirkan oleh ibunya.
Dua jenis tawaf itu adalah TAWAF SETELAH SELESAI SOLAT SUBUH yang selesai bersamaan dengan terbitnya matahari dan TAWAF SETELAH SOLAT ASAR yang selesai bersamaan dengan terbenamnya matahari.” Kerana itu jika perasan, pada 2 waktu inilah bilangan jemaah yang bertawaf bertambah berlipat kali ganda berbanding sebelumnya.
Ulama’ Besar Tanah Haram, Syaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimiin (Syarh al-Mumti’, 7/407). Ia dianggap makruh dan tidak disyari’atkan (iaitu berulang-alik mengerjakan umrah dengan keluar ke tanah halal berkali-kali) dengan sekali perjalanan umrah.
Al-Hafidz alFaqih Ibn al-Qayyim (Zaad al-Ma’ad, 2/86) menghitung umrah Nabi saw hanya 4 kali dalam sejarah hidup baginda. Setiap kali kunjungan ke Mekah, baginda mengerjakan satu kali umrah sahaja.
- Umrah Hudhaibiyah tahun ke 6 H
- Umrah Qadhiyah tahun ke 7H
- Umrah Ji’ranah tahun ke 8
- Umrah terakhir pada Haji Wada’
Sebaliknya, ibadah yg diutamakan semasa umrah ialah perbanyakkan tawaf.
Dari surah al-Baqarah: 2:125: “Dan bersihkan rumahku utk orang2 yang tawaf”. Dalil Hadith: Barangsiapa yg bertawaf rumah ini (Kaabah) tujuh kali, laksana (pahala) membebaskan seorang hamba” (sahih An-Nasa’iy 2919).
Ibnu Umar pula menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa melakukan Tawaf di Baitullah, maka Allah swt akan mencatat satu kebaikan dan menghapuskan satu keburukan bagi setiap langkahnya serta diangkat satu darjat untuknya.” AllahuAkbar. Berapa banyak langkah yang kita lakukan semasa kita sedang bertawaf?
Sebanyak itulah kebaikan pahala yang kita dapat dan sebanyak itulah juga dosa kita terampun.
Sebagai renungan, cuba kita perhatikan jemaah yang sedang bertawaf di sekeliling Kaabah. Ramai yang berpakaian biasa bertawaf Sunat atau berpakaian Ihram Umrah?
SAMA-SAMA KITA MENGKAJI KENAPA KITA DISURUH BANYAKKAN TAWAF SUNAT?
Tawaf bermaksud pusing mengelilingi kaabah, apa yang kita nak pusing? Nak cari? Kaji semula sejarah ke belakang dari apa yang terjadi. Letakkan diri kita sebagai seorang hamba Allah, umat Nabi Muhammad, seorang Muslim, ibu, bapa, anak, pemimpin, pekerja, rakyat, guru, murid dan sebagainya. Barulah kita mula kaji di mana kedudukan kita di dalam sistem sosial masyarakat.
Kaji semula punca kebejatan keluarga dan umat masa kini. Di mana silapnya diri kita, peranan sebagai seorang muslim, seorang manusia yang sepatutnya merahmatkan alam. Itulah tujuan kita hidup di dunia ini diberikan agama dan kitab sebagai panduan.
Adakah kita benar-benar faham tujuan hidup kita sebagai hamba Allah yang mengaku Islam? Tugas dan tanggungjawab, amanah sebagai pewaris kepada kerjabuat Nabi dan Rasul? Apa yang kita nak cari (tawaf) hidup di dunia ini?
Kita membaca ikrar dalam solat, iftitah bahawa HIDUP DAN MATI KITA KERANA ALLAH ROBB SEKALIAN ALAM? Adakah benar hidup dan mati kita hari segalanya di jalan Allah? Fisabilillah? Atau kita hidup kerana matlamat, tujuan dan kehendak nafsu yang lain?
Kita membaca iftitah itu di dalam setiap kali solat. Diulang ikrar yang sama bersama surah al-fatihah sebayak 17 kali sehari minima. Untuk apa diulang-ulang ikrar yang sama? 7 ayat itu menjadi satu ikrar harian kita sebanyak 17 kali yang WAJIB dalam setiap solat fardhu yang kita lakukan.
Di manakah silapnya? Apakah suruhan yang kita tidak laksanakan? Apakah perlanggaran yang kita lakukan? Sudahkah kita fahami benar benar struktur perlaksanaan setiap ayat dalam fatihah itu?
Hatta, dalam kejadian manusia dan pembentukan anak, nabi bersabda didiklah anak itu 100 tahun sebelum kelahiran mereka. Hakikatnya, tiada siapa yang setua 100 tahun yang masih subur untuk mengandung dan melahirkan anak. Tetapi 100 tahun sejarah terhampir itulah sebenarnya yang membentuk siapa kita pada hari ini.
APA YANG KITA KENA FAHAM SAINS DI SEBALIK TAWAF MENGELILINGI KAABAH
Kaabah yang di dalamnya ada 3 tiang adalah gambaran tunggak sembahan yang harus dibesarkan. Surah al-Fatihah sendiri menyedarkan kita akan 3 unsur yang harus diagungkan ini sebagai pentajalian pengagungan kita kepada Allah.
Pertama ialah ROB (pengatur) serta RUBUBIAH nya (aturan), kedua ialah MULKIAH(tempat) dan ketiganya UBUDIAH (pengabdi/hamba/pelaku).
Bila kita baca Fatihah, kita harus zikir dan semak sentiasa, sejauh mana kita berjaya menyempurnakan basmalah dan hamdalah kita sebagai pengagungan Rob dan Rububiah Allah. Bila kita baca MAALIKI YAUMIDDIN, kita harus check sejauh mana kita telah meletakkan Allah sebagai RAJA (malik) di MULKIAH (rumah/negara) kita.
Apabila kita baca IYYAKA NAKBUD WIYYAKA NASTAIIN, kita harus check sejauhmana kita telah mengabdi kepada Allah? Level 10% atau 100%? Ada tidak kemungkinan kecelaruan keluarga dan negara kita akibat kita memperkecilkan Allah, atau anak isteri kita memperkecilkan kita?
‘Habluminallah wahabluminannas”.
Check juga semua perlakuan serta hasil dari kerjabuat kita dalam konteks 7 ayat fatihah yang lain. Jika kita belum dapat nikmat Islam seperti orang terdahulu, jika kita asyik saling dimurkai suami, isteri, anak, rakyat, pemimpin maka itu tanda kita sedang dimurkai Allah dan sebenarnya telah SESAT / BINGUNG.
Puncanya ialah samada kita belum jumpa jalan yang tepat (SIROOT) atau tidak melaksanakan jalan itu dengan ISTIQOMAH (IHDINASSIROOTOL MUSTAKIM).
Dalam kontek keluarga, ROB ialah suami/ayah/Ibrahim, RUBUBIAH adalah aturan dan polisi keluarga, MULKIAH adalah rumah tangga itu sendiri dan UBUDIAH ialah isirumah. Di sini kita nampak jelas bahawa 3 unsur besar inilah yang menyelamatkan hidup kita di dalam keluarga berstatus syurga Darussalam, BAITI JANNATI.
Ini hanya akan berlaku jika kita sanggup benar benar menjadi hamba (ABID) dan berserah diri (MUSLIM) kepada semua aturan Islam yang telah ditetapkan dengan penuh keyakinan dan bertawakkal.
Setelah 7 kali pusingan dilengkapkan lalu kita jumpai sebab musabab mengapakah batu Hajarulaswad itu bertukar menjadi hitam. Kita akan nampak kesilapan diri kita yang lari dari frame ketetapan Allah dalam 7 ayat berulang dalam FATIHAH itu sendiri.
KESIMPULAN
Inilah isi penting kupasan di dalam pengisian umrah yang saya sampaikan kepada jemaah Rarecation sepanjang berada di Mekah dan Madinah selama 12 hari 10 malam. Mac nanti, kita ada banyak masa untuk mengkaji dan isi masa dengan kuliah-kuliah bermanfaat.
Jadi saya pesan sangat kepada diri sendiri dan para jemaah semua, sama-sama kita semak kualiti ibadah kita. Adakah kita memahaminya sekadar satu ritual atau kita lakukannya dengan konteks kefahaman yang boleh dilaksanakan di dalam setiap aktual aktiviti harian kita?
Tolong sampaikan pesanan ni ya. Semoga kita sama-sama mendapat mendapat manfaatnya. Sebarkan.
.
.
Shauqi Hasan
Mutawif Rarecation Umrah