Pelancaran Kembara Artik RareTV

Pelancaran Kembara Artik RareTV

Rumah Pengasih Warga Prihatin ialah sebuah badan kebajikan anak yatim dan asnaf dengan akronim RPWP. Semasa pandemik tahun 2020, sekumpulan pendidik kepada anak-anak RPWP ini membawakan  dunia  kepada anak-anak RPWP yang terkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan menerusi siri video travelognya.  


Bermula dengan niat membawa dunia ke saluran TV dalaman RPWP, rupanya sekumpulan pendidik ini akhirnya mencuri tumpuan warga Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia untuk sama-sama menonton telatah mereka berempat. 


Bermula dari konten tempatan hinggalah kini, mereka melancarkan kembara ke hujung dunia di Artik. Kali ini, bukan untuk anak-anak RPWP sahaja, tetapi untuk seluruh warga pengembara. 

 

Saluran Youtube yang bermula sepi pada tahun 2020 kini telah mendapat langganan kira-kira suku juta pengikut dengan tontonan sehingga hampir dua juta setiap bulan. Ini menjadikan RareTV saluran Youtube genre pengembaraan yang paling berpengaruh di Malaysia, Singapura dan Brunei. 


Pada 28 Julai 2022, RPWP menjadi tuan rumah melancarkan perlepasan sekumpulan pendidik ini ke dua lokasi hujung dunia iaitu di Iceland, Norway dan Pulau Svalbard. 


Pengembaraan ke Iceland diketuai oleh Tn Hj. Saiful Nang dan dibantu oleh Kapten Syibli Fakih. Turut serta dalam trip ini ialah dua orang usahawan, Haji Fared Masrom dari Port Dickson dan Saudara Osman bin Ali dari Singapura. 

 

Kembara ke Norway dan Pulau Svalbard pula diketuai oleh Kapten Akhmal Asyraf Dato’ Mohd dan dibantu oleh Ust. Haji Shauqi Hasan yang juga dikenali sebagai Mutawif Rare dalam media sosial. Turut belayar bersama ialah dua orang usahawan baju Melayu dari Malaysia, Saudara Zarif Azrie Zahari dan Zarul Shafiz Zahari. Kedua mereka bakal melakukan misi berbaju Melayu sehingga ke hujung dunia. 


Rancangan Kembara Artik RareTV ini bakal dimuatnaik di saluran Youtube bermula pada awal September 2022 dan akan bersiaran setiap minggu sehingga akhir tahun 2022. 


Rancangan pengembaraan Artik ini juga bakal menemui peminatnya di kalangan warga Singapura melalui saluran TV Bahasa Melayu republik itu. 

 

Dalam Majlis Pelancaran Kembara Artik RareTV itu juga, pihak RPWP sempat meraikan sahabat media yang pernah memberikan publisiti kepada RPWP semasa PKP pertama. Waktu itu RPWP menjalankan kempen Projek Pelangi PPE Malaysia di mana cerita anak yatim dan asnaf bersengkang mata menjahit PPE menjadi tular di seluruh media tradisional juga digital. 


Dalam projek itu, RPWP berjaya menjahit dan mengedarkan 660 km kain non-woven menjadi PPE untuk pasukan barisan hadapan kita dalam tempoh kurang dari dua bulan. 

 

Bagi pengikut dan penyokong setia, RPWP mengucapkan terima kasih atas sokongan anda selama ini sehingga RareTV berevolusi dari sebuah paparan pendidikan komuniti bersifat lokal, kini menjadi tontonan kegemaran genre pengembaraan di rantau Asia Tenggara. 


Terkini, saluran RareTV telah dianugerahkan Konten Travelog Terbaik Youtube oleh Tourism Selangor yang disampaikan oleh Exco Pelancongan Negeri Selangor, YB Tuan Hee Loy Sian.


Terima kasih kami juga untuk seluruh rakan media yang menyokong keberadaan kami. 

 

 

Liputan Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/981368/raretv-bawa-penonton-jelajah-dunia-sambil-timba-ilmu

 

Liputan Sinar Harian:  https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/213525

Back to blog

Featured collection

1 of 4