Search
  • akmalalamshah

TRAVELOG: PERJALANAN KEHIDUPAN DI BAITUL MAQDIS BERSAMA SHAUQI HASSAN.


Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran saya keadrat Allah S.W.T kerana mengizinkan hambaMu untuk menjejakkan kaki di Baitulmaqdis yang memberi seribu makna kepada umat islam di seluruh negara. Pelbagai cabaran kehidupan, rintangan dan pengajaran semasa saya berada disana. Jadi, saya kongsikan perjalanan semasa berada di Baitulmaqdis lepastu jangan lupa share ye.


Ini kad passport dan visa saya pergi ke Baitul Maqdis. Jangan terkejut ya ade logo Israel kat situ.

KENA DAPATKAN VISA DULU

Bagi warganegara Malaysia, kena tahu ya passport kita tak laku di Israel tau. Jadi kena dapatkan visa dengan bayaran USD12. Ini akan diuruskan oleh agensi di sana nanti. Proses permohonan visa kena submit nama 30 hari sebelum tarikh masuk ke Israel.

Visa ni pula belum tentu lagi kita akan dapat, ia bergantung pada kelulusan pihak berkuasa Israel. Mereka akan teliti rekod passport kita. Mana negara-negara yang telah kita lawati sepanjang 2 tahun yang lepas kita kena declare.

Kita dibenarkan masuk lepas dapat permit masuk yang diberikan. Mereka tak akan stamp passport kita ya.

NOTA : JANGAN HILANGKAN PAS MASUK NI. PENTING!

Dah tulis kat situ jelas KECUALI ISRAEL. Yang penting kita kena beri kerjasama sahaja. Mereka persulitkan supaya kita serik nak masuk dan melawat Jerusalem.

Hakikat yang kita kena telan yang berkuasa sekarang adalah Israel dan mereka yang mengatur peraturan keluar masuk ke Baitulmaqdis.

Bunyi macam melawat Palestine tapi sebenarnya kita sedang masuk ke negara Israel.


Dalam borang permohonan visa, kita kena masukkan semua maklumat diri kita termasuk nama bapa, nama datuk dan juga nama bapa kepada datuk kita. Pihak Israel akan check salasilah keluarga kita. Kalau ada kaitan dengan keluarga nabi ke memang dia akan targetlah.

Masa ni, kena tahu bahawa pihak berkuasa Israel dah ada maklumat diri kita. Mereka mungkin ada buat semakan sejarah hidup kita, siapa kita di alam maya terutamanya aktiviti kita di facebook, email dan sebagainya. Henpon kita pun mungkin dia dah check. Ke mana kita dah pergi untuk kenal siapa kita.

Wahh.. Suspen tak baca? Hehehe


Bagi warganegara Singapore visa masuk ke Israel adalah PERCUMA. Cuma kena bayar visa masuk ke Jordan dalam 60USD, kena bayar semasa di airport Amman nanti. Sekali lagi bayar ketika kita nak masuk kembali melalui di border Sheikh Hussein Bridge di Jordan nanti semasa balik ke Amman dari Jerusalem.

Kena kena siap sedia bayaran tambahan USD120 untuk visa masuk ke Jordan. Bagi rakyat Malaysia masuk ke Jordan adalah percuma tak perlukan visa.

Ok, sebelum terlupa, pastikan passport kita hidup sekurang-kurang 6 bulan lagi dari takrih berlepas. Takut nanti tak pasal-pasal permohonan visa kena reject sebab passport dah nak tamat tempoh.


Perjalanan Jerusalem melalui border Allenby Bridge dari Amman sejauh 103km.

Untuk masuk ke Jerusalem ada beberapa pilihan jalan, kalau ambil flight boleh terus terbang melalui airport Tel Aviv atau laluan darat melalui Border Imigresen di Allenby Bridge. Selalunya saya akan gunakan laluan masuk melalui Jordan.

Perjalanan dari Amman ke Allenby Bridge mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit - 2 jam bergantung kepada trafik. Kita akan bergerak seawal jam 7 pagi untuk elakkan trafik sesak di border nanti. Border Allenby Bridge akan dibuka seawal jam 8.15 pagi.

Hanya perlu bawa bag kecil sahaja dari Amman, cukup untuk dipakai selama seminggu, kalau ada bag besar, boleh simpan dalam store di hotel Amman nanti. Insha Allah selamat. Jadi kena bijak merancang apa yang perlu bawa dari Malaysia lagi untuk memudahkan perjalanan kita nanti ya.


Check point di Border Allenby Bridge.

UJIAN DI BORDER JORDAN - ISRAEL YANG SEMUA ORANG KENA TAHU

Ada 2 border yang kita kena lepasi melalui pejabat imigresen di sempadan Jordan dan Israel. 2-2 border ni sangat ketat prosedurnya terutamanya di border Israel. Di border Israel memang kita akan ‘sendirian berhad’ sahaja. Tak ada tourist guide yang akan tempuh masuk bersama-sama. Saya memang ikut sekalilah sebagai mutawif dan group leader, so jangan risau insha Allah saya back up!

Nak masuk Israel ni kita kena bersedia mental dan fizikal. Ingatlah ini jihad kita nak pergi ke Baitulmaqdis, ujiannya adalah tekanan dari pihak berkuasa Israel. Mereka ni saja-saja nak susahkan kita masuk ke sana supaya kita akan bawa balik cerita yang negatif bila pulang ke tanah air nanti.

Orang lain dari negara bukan Islam kerat jarilah mereka akan sekat dan bagi tekanan macam kita rasa. Jadi jangan cepat mengalah dan putus asa. Semua ini adalah ujian yang sepatutya menguatkan lagi azam dan semangat kita. Bukan merajuk dan cari bucu tiang mengenangkan nasib badan. Bukan macam tu.

Itu semua antara propaganda mereka supaya kita sebarkan pengalaman buruk dari menceritakan kisah yang baik-baik dari sana. Biasanya orang suka fokus yang buruk-buruk, yang baik ni orang suka baca juga tapi nak sebarkan tu rasa berat sangat nak share. Itu pun hakikat juga. Kalau saya salah, buktikan dengan kongsikan kisah perjalanan ini kepada kawan-kawan yang lain supaya semua orang lebih cakna dan tahu, sebenarnya senang saja nak ziarah Baitulmaqdis.


NOTA PENTING YANG KITA KENA TAHU SEMASA DI BORDER ISRAEL

Ada 4 check point wajib kita lalui dari luar sampailah kita melepasi imigresen Israel. Kena bersiap sedia untuk ditahan secara rambang.


Sebagai contoh dalam 30 orang jemaah kemungkinan seorang dua sahaja yang akan disoal-siasat semasa di kaunter checkpoint. Itupun mereka akan pick up secara random dari passport dan permohonan visa kita.

Proses dan prosedur di imigresen ini bergantung kepada keadaan dan situasi di sana. Setiap kumpulan akan merasai pengalaman berbeza.


SEJARAH YANG KITA KENA TAHU TENTANG YAHUDI DAN BAITULMAQDIS.


Islam dengan Yahudi mempunyai perbezaan yang banyak, umumya Yahudi ini berasal daripada pimpinan Nabi Ibrahim dan berpindah ke Palestin semenjak 2000 SM. Namun, semasa dibawah pimpinan Nabi Yusuf, mereka terpaksa berpindah ke Mesir lalu dipimpin oleh Nabi Musa yang tertindas di Mesir lalu pergi ke Kana’an.

Secara ringkasnya setiap pertukaran para nabi-nabi berlaku masalah yang dialami oleh puak Yahudi sehinggalah sekarang yang masih lagi mengalami masalah dengan menindas penduduk Islam di Palestin dengan menguasai bumi tersebut sambil mencemari kesucian Baitul Maqdis.

Ia bermula pada 1916 melalui Pejanjian Sykes-Picot mengandungi pembahagian wilayah, secara tidak langsung kuasa Yahudi yang disuaraka Setiausaha Luar British, Lord Rothschild mengesa pihak Eropah memberi tanah Palestin kepada orang Yahudi.

Maka, disini bermulanya penindasan demi penindasan ke atas orang Palestin sehingga sekarang. Persoalannya kenapa orang Yahudi sanggup menindas sehinggakan sanggup membunuh orang-orang yang lemah demi mendapatkan Masjidil Aqsa kerana hanya membina Haikal Sulaiman semata-mata?

Atau ada sebab yang masih tidak diketahui oleh masyarakat luar tentang pakatan rahsia tersebut? Dan kenapa jihad umat Islam mempertahankan Masjidil Aqsa tidak pernah padam meskipun ditindas kejam daripada Zionis Israel?



HUBUNGAN YAHUDI DENGAN BAITULMAQDIS.

Antara tiga buah agama besar yang mengakui kesucian Baitul Maqdis iaitu agama Yahudi. Agama ini cuba mengakui Baitul Maqdis ini umumnya tanah Palestin itu merupakan tanah mereka. Masjidil Aqsa yang menjadi rebutan sekarang semenjak dahulu. Rebutan daripada golongan kononnya mengangglap mereka merupakan umat terpilih antara umat manusia yang lain walaupun mereka (Yahudi) diberi peringatan keras daripada Allah:

“Katakanlah : Hai orang Yahudi ! Jikalau kamu benar-benar orang yang istimewa sebagai wali Alllah diatas segala manusia, maka cubalah kamu lekas-lekas mati, nanti kamu akan tahu apakah benar kamu orang yang dipilih oleh Allah”.

Peringatan ini diberikan daripada Allah kepada masyarakat Yahudi yang selalu angkuh dengan keistimewaan yang ada pada mereka, hal ini kononnya apabila Allah memilih kebanyakan para nabi’ dan para rasul berketurunan Yahudi seperti Nabi Musa (Moses). Malahan ada yang bersifat takabbur sama ada kepada manusia juga kepada Khaliq.

Persepsi golongan Yahudi terhadap Masjidil Baitul Maqdis sudah pun bermula berkurun-kurun lamanya dalam minat untuk mempertahankan tanah tersebut adalah milik mereka disebabkan oleh untuk pembinaan Haikal Sulaiman di atas runtuhan Masjidil Aqsa.

Apa itu Haikal Sulaiman?

Hubung kait dengan Yahudi?

Jika kita mempelajari ilmu alam, kita mengamati Al-Haramussyarief (MasjidilAqsa lama) meliputi bangunan Masjid Aqsa baru, manakala Masjid Shakhrah dan bangunan-bangunan yang berada di sekitar dua bangunan utama tersebut. Adapun Haikal Sulaiman (menurut Taurat) berada di dataran tinggi Gunung Muria terletak di utara Al-Harammussyarief.

Haikal merupakan tempat pemujaan orang Yahudi yang dibina oleh Nabi Sulaiman sebagai rumah ibadat, diceritakan apabila muncul bisikan suci dalam hati Nabi Sulaiman yang dibantu oleh tenteranya terdiri daripada pelbagai makhluk dengan izin Allah. Maka, mana mungkin jika berlaku pemusnahan rumah ibadat oleh tentera Rom nescaya orang Yahudi sekarang sanggup berkorban dan menindas golongan lain demi membina Haikal Sulaiman yang baru.

Perkara ini menarik apabila kaum Yahudi mengaitkan pembinaan Haikal Sulaiman dengan susur galur sejarah para nabi seperti Nabi Ibrahim (Terah), Nabi Ishak (Abraham), Nabi Daud (Isai), Nabi Sulaiman (Solomon) dan Nabi Musa (Amram). Jika kita kaji kitab Takwin (Perjanjian Lama) disebutkan bahawa Nabi Ibrahim datang ke tempat ini ( Haikal Sulaiman) untuk mengorbankan anak kesayangannya (Nabi Ishak). Tempat ini juga dibeli oleh Nabi Daud untuk dibangunkan di atasnya sebuah Haikal, malangnya beliau meninggal ketika bangunan itu siap dibina pada tahun 1005 B.C. , lalu diteruskan oleh Nabi Sulaiman sehingga wafat.


Ketika Raja Nibucadnizzar memerintah, Haikal dibakar maka dibina semula pada tahun 445 B.C disebut Haikal II dan hancur lagi oleh Kerajaan Moccaben tahun 167 B.C-37 B.C,25 maka sehinggalah sampai sekarang mereka cuba membangunkan kembali Haikal Sulaiman yang kelima atau ketujuh di bumi Palestin sekarang.



SEBAB NABI MUHAMMAD BERDOA DIPINDAHKAN KIBLAT.

Iktikad kiblat Baitul Maqdis merupakan salah satu keyakinan golongan Yahudi menyatakan kiblat terbaik bagi mereka adalah mengadap ke Baitul Maqdis dan mereka bersenang hati apabila Rasulullah bersolat menghadap ke Baitul Maqdis semasa penghijrahan Baginda ke Madinah yang majoritinya adalah golongan Yahudi, maka sudah tentu mereka mengatakan Yahudi agama yang betul dan agama Islam hanya suatu cedukan atau pembaharuan oleh Nabi Muhammad.

Selepas peristiwa itu, Baginda mula berdoa dan bermohon supaya Allah memberi ilham, maka turunlah firman Allah Taala dalam Surah Al- Baqarah ayat 144. Kerana peristiwa itu, mereka sanggup bermusuhan dengan Nabi Muhammad saw dengan mengelarkan baginda seorang yang gila dan penipu.

Dalam perkongsian ziarah ke Baitul Maqdis, antara point penting yang dinampakkan adalah berkenaan peristiwa ISRAK DAN MIKRAJ yang menjadi satu program yang mengubah pandangan Nabi Muhammad terhadap dunia dan peranan baginda di dalam menyampaikan dakwah.

Sebab itu setiap kali pergi umrah, saya akan nampakkan kenapa kita kena pergi ziarah ke Baitul Maqdis. Ada satu program khusus kita kena ikuti untuk melengkapkan umrah kita. Bagi yang dah sampai Mekah dan Madinah, boleh ikut saya ke Palestin pada April nanti untuk memahami lebih mendalam kisah kiblat pertama umat Islam ini.

Ini la hamba Allah yang diberi nama Shauqi Hassan.

Ramai yang tanya pada saya, TAK BAHAYAKAH ZIARAH BAITUL MAQDIS?


Ini jawapan yang selalu saya kena jawab . Ia juga sebagai satu bukti betapa media massa yang dikuasai Yahudi telah berjaya menjadikan umat Islam ‘takut’ untuk ke sana. Sehingga hari ini sudah banyak travel agensi yang membuat lawatan ke Jerusalem. Semuanya selamat pergi dan kembali.


Cuma prosedur nak masuk ke sana agak ketat dan menuntut kesabaran yang tinggi. Ini juga sebahagian dari jihad kita nak mencari kebenaran dan dapatkan maklumat yang sahih.

Ingat, peperangan hari ini bukan lagi perang fizikal tetapi siapa yang yang berjaya menguasai ILMU DAN MAKLUMAT, MEREKA AKAN KUASAI DUNIA.

Hanya yang dah sampai ke Tanah Suci Al-Aqsa sahaja yang mampu merasai nikmat dan mendapat maklumat sebenar yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata kecuali kena pergi dan lihat dengan mata kepala sendiri. Bukan mudah tetapi inilah fitnah bagi kita umat akhir zaman.

Kita yang dah sampai dituntut pula untuk menyampaikan kebenaran. Hebahkan bagaimana situasi di sana, ceritakan yang baik-baik dan kongsikan pengalaman yang sebenar. Bukan menambah yang bukan-bukan dan menakutkan orang lain untuk pergi ke sana pula.

Kalau kita hanya sebarkan keburukan, kita dah berjaya jadi agen mereka. Memang Yahudi Zionis nak kita rasa susahnya nak masuk ke Jerusalem.

Jadi berhentilah jadi "lidah dan tangan" mereka. Sebarkan kebaikan supaya lebih ramai umat Islam dapat jejak kaki ke sana dan melihat sendiri kiblat pertama umat Islam.



Air laut mati ini adalah buah tangan percuma dari Jordan.

Ini bukan air biasa, kalau tengok ketulan batu putih dalam botol air tu dah boleh agak kepekatan garamnya.

Laut Mati antara lokasi ziarah yang bakal kita lawati semasa ziarah di Jordan sebelum masuk ke Jerusalem keesokkan harinya. Sekitar sejam perjalanan dari ibu kota Jordan, Amman.

Tapak sejarah yang mengisahkan sejarah kaum Nabi Luth yang ditelan bumi sehingga tiada kehidupan lain yang boleh wujud di dalam tasik ini. Kerana kandungan garamnya yang terlalu tinggi, ikan pun tak boleh hidup dalam laut ini.

Kita boleh singgah ke sini untuk mengambil pelajaran atas peringatan yang menimpa umat terdahulu. Nak mandi dan merasa macam mana rasa air laut masin boleh juga.

Yang penting jangan sampai melampaui batas. Tempat yang dilaknat Nabi Muhammad tak bagi kita duduk lama-lama kat situ. Cukup masa terus jalan.

Yang penting ambil iktibar dari kisah orang terdahulu. Saya ambil sedikit air, buat buah tangan cenderamata untuk tunjuk pada anak-anak RPWP.

Jangan risau boleh bawa pulang. Janji pandai-pandai bungkus dan bawa balik. Kalau beli di kedai, dekat 10JD. Mahal tu.

Haa ni dia, garam original dari Laut Mati. Memang rare. KIta hanya boleh dapat pengalaman ini hanya di Jordan.

Saya main kat tepi-tepi saja. Nak ambil feel. Ada orang kata air laut mati ni boleh merawat penyakit kulit. Wallahu'alam.

Pastikan ikut arahan yang diberikan. Air Laut Mati kalau masuk mata memang pedih, dah kalau masuk mulut kompem masinlah kan.

Di tepi pantai dari jauh dah nampak ketulan garam yang bertukar jadi hablur. Air laut yang masin ni bila kering akan bertukar jadi ketulan garam.

Bagi yang nak rare lagi, boleh cuba lumur lumpur hitam satu badan. Ini pun rawatan nak sembuhkan penyakit kulit juga. Lumur 30 minit seluruh badan sebelum bilas dengan air laut, macam Dato Ismail tu.

Hah ni lah rupa bekas lumpurnya. Dekat saja tak jauh dari pantai tu juga. Ada disediakan bekas berisi lumpur ini. Boleh pakat-pakat lumur badan. Pastikan dah bawa baju sepersalinan, kalau tidak naya.

Selamat menyimpan angan-angan untuk sampai ke bumi Baitulmaqdis. Banyak lagi cerita nak dikongsikan. Ini semua pengalaman belum lagi pelajaran, itu tausiah di dalam bas nanti ya.

PANTANG LARANG DI CHECK POINT ISRAEL

1. TIDAK DIBENARKAN MENGAMBIL GAMBAR/VIDEO Ini larangan keras ni. Jangan cari fasal, kena jaga nafsu nak bergambar ni.

2. Hanya bawa turun bag-bag kecil sahaja daripada bas dari Amman. Kita akan tukar bas lain di sebelah sempadan Israel yang akan bawa kita sampai ke Jerusalem.

3. Bagasi besar akan diuruskan oleh Pekerja Keselamatan. Bila mereka dah selesai keluarkan bagasi semua, dah check bas kita boleh ambil bag masing-masing.

4. Tidak dibenarkan menghampiri bagasi besar semasa dikeluarkan dari bas. Kita akan bawa bag in sendiri melalui kawasan x-ray nanti. Jangan risau masa ni semua senang saja.

5. Ikut arahan Pihak Imigresen. Jangan melawan dan membantah. Mereke ni okey sahaja. Memang ada yang kerek sikit tapi buat sajalah apa yang disuruh kalau nak masuk dengan tenang pastikan.

SOALAN YANG KERAP DITANYA KEPADA KITA

1. Siapa nama bapa dan datuk lelaki. Ingat ya jawapan mesti sama macam dalam borang permohonan visa, kalau salah sebut dia akan suruh kita tunggu kat kerusi depan kaunter sehingga dipanggil semula.

2. Tujuan datang ke Israel? Jawab saja nak melawat atau melancong.

3. Nama hotel penginapan? Yang ni akan kita bagitahu dalam borang dan keep remind sepanjang perjalanan supaya semua boleh jawab. Soalan bocor disediakan. :grinning:

4. Barang yang dibawa bersama? Bagitahu saja “nothing special”.

5. Ada bawa sebarang bentuk senjata? Baik mengaku - NO.

6. Berapa banyak wang dan tujuannya? Boleh cakap nak beli cenderahati.

Paling penting jangan tunjuk sebarang tanda atau bentuk protes. Soalan yang ditanya mungkin bunyi biasa-biasa sahaja tetapi semua itu adalah untuk dapatkan reaksi dan membaca riak muka kita.

Kalau berpeluh saja masa nak jawab adalah yang nak kena tahan nanti. Relax saja jangan gelabah dan buat macam biasa saja. Tunjukkan muka kita ni tak bersalah. Cuak tu memanglah tapi jangan nampak sangat ya.

Jika perkongsian di dalam saluran ini bermanfaat untuk diri anda, kongsikan kepada sahabat yang lain untuk sama-sama memperolehi ilmu dan maklumat yang sama. Semua di sini dikongsikan dari pengalaman saya sendiri, ilmu yang saya dapat adalah milik semua orang untuk dikongsikan.

Sila follow dan share link t.me/notamutawifrare untuk sentiasa hiasi hari anda dengan nota dari saya tentang umrah, sejarah, parenting dan agama. See first untuk menjadi yang pertama facebook.

Terima kasih.

Shauqi Hasan Mutawif Rare

818 views

© 2016 Rarecation Travel Sdn Bhd

No Lesen : KPK : 8849

No Siri : KPK/LKU/SUB 0540

Rarecation HQ

Kompleks RPWP, Lot 79979 Jalan Abim, Kampung Sungai Ramal Dalam, 4300 Kajang Selangor

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon

*Rarecation ialah entiti 100% milik badan kebajikan anak yatim dan asnaf