Search
  • farouqfakhri94

MENGINTAI MASUK KE DALAM SISTEM SEKOLAH JEPUN.



Semua tahu, Jepun merupakan negara antara yg terbaik dalam pendidikan. Saiful Nang intai masuk dalam sekolah Jepun dan ini yang dia dapat korek. Lepas ini, pergi Jepun dah kena buka mata memerhati selain nak tengok tempat cantik, kena juga tengok pendidikan yang mencipta attitude dan disiplin yang cantik orang Jepun.



1. BUDAK-BUDAK JEPUN PERGI SEKOLAH SENDIRI WALAUPUN MEREKA AUTISM. Memandangkan Jepun tempat yang selamat kerana CCTV merata-rata tempat. Kalau hilang orang boleh sahaja pakai face detection search macam konon-konon FBI dalam CSI pakai. Kenapa mereka jalan sendiri? tak bahaya ke? Jawapannya TIDAK. Orang-orang Jepun sangat PRIHATIN. Walaupun pakcik-pakcik dan makcik-makcik di keliling budak ini tak kenal budak ini tetapi mereka akan melindungi budak sekolah yang kalau ada ura-ura benda tak baik nak dibuat.

Satu lagi, mereka pergi sekolah dan balik sekolah pada takwim yang sama. Percaya ke tidak, selepas beberapa minggu mereka naik keretapi yang sama bersama makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sama pergi balik kerja pada waktu lebih kurang sama, maka mereka dah boleh kenal dan bantu jaga sama-sama.

Dan ini memang jadi undang-undang sekolah yg tidak membenarkan anak-anak sekolah rendah untuk dihantar oleh ibu bapanya. Walaupun rumahnya sebelah sekolah sahaja.

Lagi satu, mereka biasa bergerak berkumpulan. Macam anak itik pulang petang dalam keadaan beratur. Sorang-sorang akan turun dari tren. Kalau jalan kaki, yang last sekali akan jalan sendiri. Tapi mak ayah pun dah tahu kalau risau anak hilang, dia tunggu sahaja di rumah kedua terakhir sebelum rumahnya. Apapun, they are created by system. Alaa...kat Malaysia pun ada. Budak-budak sekolah rendah pergi sekolah naik Honda Cup sendiri jer tak ada mak hantar. Balik sekolah boleh singgah ladang sawit main terup.



2. TANDAS YANG BERSIH MEGHELIT. Nak tengok akhlak seseorang bila datang rumahnya, tengok dulu tandasnya. Kenapa? Iyelah, takkan datang rumah orang terus tanya "Boleh pinjam bilik tidur tak?". Tapi kalau "Pinjam tandas sekejap" itukan normal. Jika tempat paling kotor dalam sebuah rumah itu BERSIH dan teratur. Tak perlu tengok bilik tidurlah, confirmlah teratur juga. Anak Jepun boleh bersihkan mangkuk tandas yang kita geli sangat tu bukan pakai berus, tetapi mereka boleh lap pakai kain lap. Termasuk tempat kencing berdiri ni, kalau masa mereka membasuh, memang akan mereka lap sampai berkilat. Selain itu, semua pelajar diajar untuk "Pandai berak, pandai basuh" (begitulah bahasa orang kampungnya). Ala...ini kat Malaysiapun ada. Banyak toilet DBKL bersihnya sampai orang bayar untuk masuk.



3. BUDAK TADIKA AKAN DIHANTAR OLEH IBU MEREKA SAMPAI DALAM SEKOLAH. Sekolah rendah jalan sendiri, sekolah tadika kena mak ayah hantarkan. Lagipun, ramai ibu-ibu di Jepun tidak bekerja selain menjadi suri rumah (itulah kerja paling berat). Si Ibu kena bekalkan bento YANG SAMA dengan anak-anak lain. Kenapa? Tunggu dan baca sampai bahagian tu nanti. Budak belum mumayyiz lagi eloklah escort pergi dan balik kan. Dan biasanya, mereka hantar anak sekolah dengan basikal atau jalan kaki. Bukan tak boleh naik kereta, cuma jauh sikit kerana nak masuk selit-selit celah bangunan, baik jalan kaki lagi laju. Alaa..kat Malaysia pun ada. Tadika semua kita hantar sampai ke pintu. Siap ada yang tak balik dan tunggu tepi tingkap terus.


4. TANDA INI IALAH TANDA RUMAH YANG BOLEH ANAK-ANAK SEKOLAH BERLINDUNG DAN MINTA BANTUAN. Ada banyak rumah dengan tanda begini. Jika budak-budak terasa dalam bahaya, mereka boleh lari terus ke check point begini dan biasanya mesti ada orang di rumah. Kalau budak sesat nak balik rumahpun mereka boleh bantu bawa balik rumah. Ini kira macam rumah jawatankuasa yang dilantik oleh PIBG sekolah. Alaa...yang ini, kat Malaysia pun belambak. Kalau susah boleh jer telefon nombor pada sticker yg ada di merata-rata negara untuk pinjam duit.



5. ADA KASUT LUAR ADA KASUT DALAM. Sekolah mereka ni biasanya lebih suci dari sekolah-sekolah agama kitapun. Kasut luar dibuka dan kemudian disimpan di tempatnya (siap ada nama lagi tu) dan memakai kasut dalam. Kasut dalam tak boleh bawa keluar kerana nanti kotor. Sekali sekala, budak kena bawa balik kasut tu untuk basuh. Alaa..kat Malaysia pun ada cuma bukan kasut. Sampai luar kelab, buka baju luar, pakai baju dalam sahaja masuk kelab malam.



6. KEJUJURAN MELAYAN DIRI SENDIRI. Layan diri jadi tamu sekolah, isi nama dan ambil pass kemudian jangan lupa SANITIZE tangan sampai bersih ye. Janganlah membawa kotoran-kotoran ke dalam. Walaupun tak ada orang paksa untuk daftar nama, tetapi integriti tinggi orang Jepun, mereka faham itu adab bahawa tetamu perlu ikut undang-undang tempat mereka bertamu. Alaa...Malaysia lagi hebat. Kita masuk rumah orang bawa anak pecahkan pinggan mangkuk tuan rumah, kita cuma cakap "alaa...budak lagi....kat mana tadi kita stop?".



7. LOST & FOUND Kalau tertinggal apapun, boleh sahaja letakkan semula di tempat ini. Automatik kalau ada budak terhilang apa-apa, terus cari di Los & Found mesti dapat balik. Lagi mantap, kalau barang kita tercicir di jalan nanti orang yang jumpa siap ambil dan gantung kat pokok dan buat sign sikit yang orang boleh nampak supaya yang tercicir boleh ambil balik barang tu kalau mereka mencari. Inilah akhlak...integriti yang tinggi.

Alaa...kat Malaysia pun hebat juga. Last year tertinggal Samsung Ewee di atas meja kantin, minggu depannya datang balik, Samsung Eweee itu ada lagi di atas meja yang sama dan siap ada sarang labah-labah. Cuma kalau tertinggal iPhone sahaja yang dia akan LOST TAK FOUND FOUND.



8. BILIK SAKIT DALAM SEKOLAH

Dalam setiap sekolah, ada bilik rawatan memang lengkap sekalipun kalau nak buat some minor surgery. Kalau budak sakit, tak payah risau terus boleh warded sini tak perlu tahan dalam kelas. Kuranglah sikit orang kena jangkitan. Doktor pun ada visiting doctor tau dan inhouse nurse lagi. Alaa...kita lagi power, belakang sekolah sahajapun ramai "doktor-doktor" yang pandai enjet ubat kat lengan. Kita lagi advance.



9. PROJEK SAINS MEREKA FUN DAN REALISTIK. Saya masuk kelas sains ni, rasa seronok tengok budak-budak explore macam-macam. Cikgu memang ada bagi projek tapi biasanya budak-budak digalakkan memberi idea. Projek-projek begini memang budak-budak excited nak buat. Apa yang cikgu beri, budak-budak kembangkan jadi macam-macam projek. Tapi tak lawan kita di Malaysia. Budak sekolah rendah pun dah pandai buat "projek" dan biasanya membuahkan "hasil".



10. INI BUKAN NURSE TAPI INI TUKANG MASAK. Di sekolah Jepun tidak ada kantin. Cuma ada kitchen sahaja. Kebersihan sentiasa number 1. Ada habuk sedikit jer pun masa audit, kena tutup kitchen. Lepas mereka masak, mereka akan hantar ke depan kelas. Untuk apa? Tunggu proses seterusnya.

Btw, mereka ini ialah orang yang sangat dihormati oleh pelajar. Kenapa? Kerana budak-budak Jepun dah dididik untuk menghormati orang-orang seperti tukang masak. Bukan tukang masak sahaja, malah pekerja pengutip sampah di lori sampah selalu diberikan tepukan wirawan oleh anak-anak sekolah yang ternampak sambil mengucapkan "Arigato hozaimas" sambil menundukkan badan. . Alaa...kitchen kita lagi bersih. Tanda kitchen kita bersih ialah ia sesuai untuk pembiakan tikus dan lipas yang sangat menyukai tempat-tempat yang bersih.



11. BILIK SENI

Yang ini, di Malaysia pun ada. Tak ada apa yang menarik sangat. Cuma jelous kerana dia ada rak pengering lukisan cat air. Dulu saya jemur kat kaki lima jer. Masa jemur cantik, bila ambil ada kesan tapak kasut. Tetapi yang mungkin kurang pada kita ialah, Orang Jepun mengutamakan seni sebagai skill mesti ada untuk setiap orang. Bayangkan, setiap orang dan cikgu kalau buat nota boleh buat kartun mereka sendiri. Ada kartun yang menjadi identiti mereka dana mereka jadikan inkang. Apa tu inkkang? Ala, yang macam cop siap ada dakwat tu tapi ada yang karakter Hello Kitty, ada Doraemon dll.



12. WAKTU REHAT WAKTU UNTUK CEDERA SIKIT.

Waktu rehat memang waktu ni semua budak-budak yang terperap dalam bilik mereka keluar dan main. Masa rehat kita di Malaysia mesti pergi kantin. Tapi masa rehat mereka untuk main. Semua orang keluar kelas untuk main. It's ok untuk mereka cedera. Jatuh, luka kaki, terpelecok, dislocated is totally ok untuk anak Jepun. Katanya, itu lebih elok dari mereka ni jadi penakut dengan semua benda. Tanggungjawab guru cuma nasihat kalau nak terjun, kaki dulu...bukan kepala. Alaa, Malaysia lagi baik kan? Anak-anak kita kalau boleh biar macam anak Raja. Bukan setakat goyang kaki, kalau boleh...kakipun nak orang tolong goyangkan. Pantang cikgu suruh sikit, esok esok mak bapak datang komplen dan akhirnya mereka akan ungkap perkataan keramat "I'll see u in court".



13. PANDAI MAIN, PANDAILAH SIMPAN BALIK. Mereka pandai nak main, mereka pandailah ambil. Bila dah habis main, mereka pandai-pandailah kemas. Tahukah anda, budak Jepun diajar untuk menjaga dan memelihara barang-barang sekolah. Dari kecil mereka diajar, harta awam adalah harta mereka juga dan mereka perlu berjuang untuk menjaganya dan tidak merosakkannya.

Alaa...Malaysia lagi Prihatin. Kadang-kadang barang masih elok dah kena dispose. Barulah boleh buka tender supply barang di kalangan orang-orang yang dikenali juga.



14. IBU DAN BAPA AKAN AMBIL ANAK TADIKA MEREKA DARI GURU TADIKA. Biasa pemandangan ini berlaku. Semasa serahan anak-anak ini kepada parents masing-masing, nanti guru akan jelaskan apa yang mereka buat hari ini dan laporkan serba ringkas dalam 3-4 minit kepada parents. Bermakna, parents tahu apa yang berlaku di sekolah dan mereka boleh take part atau beri idea. Tapi bukan nak jadi Makcik Bawang yang kepoh ye. Masa ni juga, cikgu akan berikan menu bento. So, parents akan sediakan bento yang sama dengan orang lain. Kenapa? Bila bento kita lain dari orang lain, anak kita akan jadi malu dengan kawan-kawannya. Dan juga mungkin kawan-kawannya akan teringin nak makan bento kita yang ada asam pedas dan tempoyak salmon. Orang lain semua makan roti sapu butter dengan tomato jer.



15. GURU TADIKA IALAH PROFESSION PERGURUAN YANG TINGGI. Guru tadika ialah profession yang tinggi. Bukan sekadar mereka perlu faham pendidikan pra-sekolah yang kebanyakannya cuma main main main main. Remember ye, tadika Jepun tidak mengajarkan anak-anak dengan quantum physic theory, Algebra, Teorem Pithagoras, Tangent, Persamaan quadratik serentak, dan tidak juga mengajar budak-budak menulis laporan taksiran cukai pendapatan. Yang mereka ajar ialah ADAB dan HUMAN SKILL. Atau mudahnya, kemahiran asas untuk menjadi manusia yang seperti manusia. Bukan manusia seperti perangai hanjing. Bukan calang-calang ok guru tadika, profession mereka setara dengan professor. Ini kerana Jepun meletakkan pendidikan pra-sekolah sebagai fasa pendidikan PALING PENTING DALAM PEMBENTUKAN RAKYAT JEPUN YANG BERDISIPLIN.



16. GURU BESAR SEKOLAH TADIKA JUGA MENGAJAR. GB di Jepun bukan jenis GB yang sain check dan uruskan tender supply beli alatulis tetapi mereka lebih dari itu. Dalam gambar ni ialah guru besar tadika. Dia sendiri mengajar sambil-sambil dia menjadi benchmark kepada guru-guru muda yang lain. Leader walk in front. Follower follow.



17. DAYCARE TODLER KERJANYA MAIN SAHAJA Comel pulak budak-budak Jepun pipi merah walaupun bukan kerana dilempang memegang handle yang kemudian digiring oleh caretaker mereka. Mereka ini biasa dibawa ke taman dan mereka akan BERMAIN KOTOR. Memang anak-anak ini akan main tanah, berguling sampai berdebu dan macam-macam lagi. Mak ayah tak boleh bising kalau baju anak penuh tanah. Itu sebahagian pendidikan mereka. Carataker cuma pastikan budak-budak tak makan batu dan terjun kepala ke bawah kaki ke atas dari gelongsor ke bawah tanpa menggunakan gelongsornya. Pendidikan terbaik ketika ini ialah ALAM. Comel kadang-kadang tengok budak sekecil ini dah tolong siram pokok. Kalau di Malaysia budak comel siram pokok nanti orang kata "Child labor". Alaa...Malaysia lagi hebat. Hantar ke daycare, budak-budak relaks sahaja. Ada yang ditidurkan dari pagi sampai petang. Nak bawa ke taman, susah pulak. Cikgunya sorang dua, nak dibawa pula sekapal. Takut tak sempat sauk, ada yang lasak dah kena lenyek tayar. Malaysia lagi baik, budak-budaknya relaks...tak perlu nak siram-siram bunga kan?



18. DINDING SEKOLAH JARANG YANG KOSONG. SEMUA MESTI DIGUNAKAN UNTUK ILMU. Selagi ada dinding mereka gantung. Fahaman mereka, dari pandang dinding kosong tak mendatangkan kepandaian, lebih baik isikan pandangan dengan sesuatu yang baik. Saya kurang pasti siapa potret-potret klasik di dalam gambar ni, namun saya yakin mereka mungkin ialah barisan GB sekolah ini. Budak Jepun diajar untuk berterima kasih kepada ikon-ikon ini. Alaa...Malaysia lagi advance, Perdana Menteri dah 6 tapi dalam buku sejarahpun boleh hilang satu.



19. SEORANG PELAJAR ISTIMEWA ADA 1 ORANG GURU PENJAGA. Ini anak Down Syndrome dalam aktiviti di tadika. Di belakangnya ialah guru pakar anak-anak istimewa yang dihantar oleh kementerian pendidikan Jepun untuk memastikan anak istimewa ini tidak tersisih dengan rakan-rakannya sekalipun mereka ada kelemahan tertentu. Alaa...Malaysia lagi hebat. Kita siapkan kelas khas untuk anak-anak begini dan mereka berkawan dengan rakan-rakan senasib.



20. GURU TADIKA MESTI FIT. Mana tidak, selain guru tadika perlu pandai main piano dan alat-alat muzik, mereka juga perlu join sekali budak-budak tadika untuk main. Boleh bayangkan tak, guru tadika bergaji besar hari-hari main "Polis sentri" (Police & Theft). Kalau di Malaysia mesti malu cikgu tadika begini nak jawab pada bakal mentua "Job scope saya ialah bermain dengan budak-budak, nyanyi sama-sama, bersihkan najis rabbit dll bersama budak". So, guru tadika wajib fit. Kalau tidak, memang pancit kerana pergerakan kanak-kanak ni macam pergerakan zarah, Gerakan Brown.



21. SKILL HIDUP LEBIH PENTING DARI ABC Dari kecil anak-anak tadika diajar untuk tidak geli buat kerja-kerja kotor seperti membersihkan najis arnab di dalam tadika mereka. Eloklah begitu kerana satu hari nanti, mereka juga yang nak kena basuh dan cebok berak emak dan ayah mereka semasa tua nanti. Di Malaysia, kita lagi baik. Budak nak pegang tanah pun dah kena sound. Sampai bila budak membesar, dia dah ada rasa geli. Itu yang nak bersihkan jamban sendiripun kena panggil bibik.



22. MAKANAN DIHANTAR KE KELAS Inilah cook yang dah siapkan makanan dalam bekas makanan. Di latar belakang tu kan nampak macam semua kitchen staff kan? Semua ceria sahaja. Mereka kenalkan kitchen staff tu supaya budak-budak kenal siapa yang mereka patut hargai.



23. MAKAN DALAM KELAS SAHAJA, TAK PERLU KANTIN. Inilah suasana bila semua makan di dalam kelas. Tengok keliling mereka ada tak nampak mana-mana alat bantuan mengajar NOMBOR dan ALPHABET? Takde kan? Kerana tadika bukan untuk akademik tetapi untuk memasak foundation disiplin dan human skill agar anak-anak Jepun mampu bawa diri ke mana-manapun mereka pergi.

Cuma ibu-ibu Jepun pun ada yang dah mula tiru Malaysia. Ingat, kita jadi negara contoh. Dah mula ramai ibu bapa anak Jepun ni yang selepas sekolah tadika kerajaan, mereka hantar anak mereka untuk tusyen belajar matematik dan membaca pulak. Kita dah lama buat....kan?




24. INI BUKAN SURGEON TAPI INI MAKCIK KANTIN. Ok kerana sana tak ada kantin, kita panggil ini Makcik Dapur. Yang bertutup macam jenazah tu ialah makanan tengahari yang disiapkan mengikut takwim di depan setiap kelas. Nanti cikgu akan break untuk urusan makan. Siapa yang menghidang? teruskan membaca...



25. MURID-MURID SEKOLAH BERGILIR UNTUK KERJA-KERJA AGIHAN MAKANAN. Semua pelajar akan mengalami tugasan begini dan mereka lakukannya dengan sangat gembira. Tengok sahaja pakaian mereka siap tutup mulut dan hidung, tutup kepala dan pakai baju yang tak nampak bulu dada. Itulah standard kebersihan sekolah di Jepun.


82 views

© 2016 Rarecation Travel Sdn Bhd

No Lesen : KPK : 8849

No Siri : KPK/LKU/SUB 0540

Rarecation HQ

Kompleks RPWP, Lot 79979 Jalan Abim, Kampung Sungai Ramal Dalam, 4300 Kajang Selangor

  • Facebook Social Icon
  • Instagram Social Icon

*Rarecation ialah entiti 100% milik badan kebajikan anak yatim dan asnaf